Resepi Shell Out Yang Sangat Sedap!



Shell Out !
Wah dengar nama aje.. dah teruja kan..?
Shell Out satu fenomena dan menjadi tranding kini di kalangan pengemar makanan laut. Tak tahu darimana mulanya dan siapa yang memperkenalkan makanan ini ke negara kita.. apa yang pasti rata-rata ramai yang sukakan makanan yang ringkas dan di makan secara santai ini.

Ada juga suara-suara yang berbunyi.. macam tak berapa sopan aje cara penyediaan Shell Out ni.. mana taknya.. ianya di hidangkan di atas plastik dan di curah aje segala macam makanan laut dan di makan beramai-ramai ala-ala rewang gitu..

Bagi mereka yang tak biasa.. mungkin rasa macam tak berapa sopan.. tapi bagi orang kampung macam ita ni.. makan beramai-ramai macam tu.. dah biasa dan kami di ajar makan berkongsi dari kecil lagi.. tak kiralah di rumah.. di surau atau masjid mahupun di sekolah agama dan kebangsaan. Tapi kebiasannya makanan di hidang di dalam talam atau dulang yang besar dan ada juga di hidangkan di atas daun pisang. Di situlah di letakkan nasi dan lauk-pauk. Biasanya satu talam untuk makanan 4 orang.
Kebiasannya makanan beramai-ramai ni di hidangkan bila ada majlis kenduri kendara atau  Maulidur Rasul.. Ingat nasi ambeng, makanan popular di kalangan orang Jawa.


Nasi Ambeng adalah contoh salah satu hidangan yang di hidangkan dan di makan secara beramai-ramai selain beriani dan nasi minyak bila pergi kenduri atau Maulidurasul. Sebenarnya makanan ramai-ramai dan berkongsi macam ni bagus dan ada kata ikut sunah nabi.. ianya bertujuan merapatkan silatulrahim di samping kita di ajar bersabar dan bertolak ansur terutamanya bila berhadapan dengan rezeki.

Hari ni ita tak nak cakap banyak, ita nak kongsikan satu resepi Shell Out yang sangat sedap! Ita pasti bila anda mencuba resepi ni.. pasti dah tak nak dengan resepi yang lain.. Memang sangat sedap dan sangat menyelerakan.. hingga kami tersandar kekenyangan.. walaupun peluh merecik di dahi..

Sebenarnya dah lama nak cuba buat Shell Out sendiri. Kata orang kalau masak sendiri lebih muai. Ramai yang kongsikan resepi Shell Out ni.. tapi bila lihat pada bahan-bahannya.. buatkan tak berapa nak mencuba hinggalah ita bertemu dengan blog cik adik manis kita ni.. di SINI

Melihat bahan-bahan yang di gunakan, ita dah dapat bayangkan betapa sedapnya lah aii.. pasti menjilat jari di buatnya. Bertambah teruja bila Suraya memberikan penerangan yang cukup lengkap dari penyediaan hinggalah kepada cara nak menghidangnya.. Wow! tak sabar nak cuba kan..

Ya Allah... lagi tak sabar.. bila Suraya dok becerita bagaimana aksi mereka anak beranak makan.. dari dok bersila.. sampai dah bersilang panggong.. ada yang kaki sampai dah nak atas dah.. macam orang main majung.. tangan tak usah cakap lah.. dah bersilang-silang.. sampai ada yang tangan masuk jiran sebelah.. punya lah syok makan... adoiiii... ita yang tengok gambar-gambar yang Suraya kongsikan... bagaimana  aksi mereka anak beranak makan pun... terterlan air liur di buatnya.. memang menguji iman betul..

Jom kita buat...
Tapi mula kenalah cari makanan laut dulu...



Ita guna semua makanan laut yang ita beli di perkampungan orang asli. Segar-segar semuanya baru turun dari bot. Harga pun berpatutan.. sambil membeli sambil kita membantu.. baru berkat rezeki tu kan..

Untuk resepi Shel Out ni.. anda boleh gunakan apa-apa sahaja makan laut yang anda suka. Ketam, udang, kupang, kerang, kepah, sotong, lala, remis, pepahat, isi ikan dan apa-apalah yang menepati citarasa.. tapi.. jangan lah campurkan ayam dan daging.. dah namanya Shell out kan.... mestilah makanan laut.. ye tak..!

Untuk cara memasak boleh rujuk blog Suraya di Chooyaya Secret Garden lebih lengkap dan lebih detail.
Walaupun Suraya kata jangan tambah apa-apa lagi dah sebab resepi ni dah cukup complete! dari segi rasa, namun ita tetap nak ubah.. hihi ita lebihkan sedikit cili sebab nak makan sampai berasap telinga! lagi pedas lagi kaw!

SHELL OUT COMFIRM SEDAP
Resepi Oleh : Auntie Nani
Rujukkan Oleh : Mama to Erna
Rujukkan Oleh : Suraya Sulatin

Makanan Laut

Ketam
Udang
Kerang
Sotong
Lala
Pepahat
Remis
Kupang
Isi ikan ~ terpulang lah nak isi ikan apa. ( yang ni ita tak letak )

* Sukatan bahan makan laut ni terpulang, tapi haruslah bersesuaian dengan sukatan bahan rempah yang di sediakan.

Semua makanan laut ini di cuci bersih. Didihkan air bersama sedikit garam. Kemudian di rebus secara berasingan. Bukan rebus lama-lama tau! ala-ala macam celur aje.. sebab makan laut kalau over cooked nanti liat tak sedap! nak dia half cooked aje supaya bila masuk dalam rempah cepat aje kita masak.
Dah masak angkat dan ketepikan


Bahan Sayur-sayuran

Jagung manis ~ potong 3
Brocoli ~ di potong kecil
Kentang ~ potong wages atau belah 4
Carot ~ hiris bulat
Bunga kubis ~ potong kecil

Semua bahan sayuran ni di celur. Didihkan air dengan sedikit garam, kemudian celurkan sayur-sayuran kecuali kentang dan jagung tu kena rebus sampai empuk.


Bahan Rempah 

Bahan A ~ di kisar

20 tangkai cili kering ~ buang biji dan rendam lembut ( kalau nak pedas boleh lebihkan )
2 labu bawang besar
15 ulas bawang merah
2 labu bawang putih ( 10 ulas )
1 inc halia
1 inc belacan
1 gengam udang kering ~ rendam lembut

Satukan semua bahan bersama air dan sedikit minyak masak, dan kisar hingga halus


Bahan B ~ di tumis

6 ulas bawang putih ~ di hiris halus
6 ulas bawang merah ~ di hiris halus
1 inc halia ~ di hiris halus
5 tangkai daun kari ~ di lurut daunnya sahaja
10 biji cili padi ~ di hiris halus ( nak pedas lebihkan )
2 batang serai ~ di titik ( ita tambah )
Minyak untuk menumis
1 sudu besar butter / margerine


Bahan C ~ perasa

3 sudu besar serbuk kari ikan
3 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos ikan
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 kiub pati ayam
garam dan gula secukup rasa


Panaskan minyak bersama butter dalam kuali.
Masukkan bahan bahan tumis ( bahan B ) dan tumis hingga harum dan garing.
Bila dah garing, masukkan bahan kisar ( bahan A ) masak sampai garing. Masak ni biar lama-lama sikit biar cili betul-betul garing dan masak. Jika kuah terlalu pekat tambahkan sedikit air dan masak lagi
Kemudian masukkan bahan perasa ( bahan C )
Mulakan dengan rempah kari, masak kejap bagi garing, kemudian baru masukkan sos tiram, sos ikan, serbuk lada hitam , kiub ayam dan gula.
Kemudian baru masukkan garam 
* berhati-hati dalam penggunaan garam kerana sos tiram dan sos ikan dah masin.
Biarkan kuah merenih sebentar.
Angkat dan masukkan dalam periuk lain
Tinggalkan 1 senduk besar dalam kuali
Panaskan semula dan masukkan kupang, masak sebentar ~ angkat
Panaskan 1 senduk besar lagi kuah dan masukkan ketam, masak sebentar ~ angkat
Panaskan 1 senduk besar lagi kuah, masukkan sotong, udang, brokoli, bunga kubis dan karot, masak sebentar ~ angkat
Masak seafood berasingan ya, ketam dulu, kerang, kupang dan lain-lain. 
Sayur-sayuran tu ita masak sekali berasama sotong dan udang. 
Yang lain ita tak letak sayur. 
Jagung dan kentang ita tak masak dengan kuah, ita biarkan sahaja di rebus begitu.


Ita lawankan hidangan Shell Out ita ni dengan nasi Mediterranean ( Mediterranean Butter Rice ) ala-ala Nandos yang di sediakan oleh anak bujang ita Azrul. Sedap nasi ni memang kena pulak di gandingkan dengan Shell Out yang di sediakan. 

MEDITERRANEAN BUTTER RICE
Resepi Oleh : Azrul

4 cawan beras
1 cawan  besar butter
1 cawan mix vege ( karot, jagung, kacang pea )
garam secukup rasa
Air secukupnya untuk menanak nasi

Cuci beras bersih
Masukkan beras, air secukupnya untuk menanak nasi, butter, mix vege dan garam secukupnya ke dalam periuk nasi dan tanak nasi seperti biasa
Bila dah masak, gemburkan dengan chopstik 
Sedia di hidangkan


Apa tunggu lagi...
Jom kita menjamu selera..
Sebelum makan jangan lupa baca doa.. agar berkat rezeki kita untuk hari ini...
Amin....
Alhamdulillah.... 

















Subscribe to receive free email updates: